Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menunggu keputusan siasatan berhubung kes dua atlet bola tampar remaja yang ditampar jurulatihnya ketika Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 tahun (B14), baru-baru ini.

Menterinya Fadhlina Sidek, berkata siasatan berhubung perkara itu sudah selesai serta dibawa ke unit tatatertib dan integriti KPM untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, proses yang dilakukan dalam kes itu amat penting demi memberi ruang dan keadilan untuk semua pihak.

"Kita sudah selesai siasatan dan perkara ini sudah pun berada dalam pengetahuan unit tatatertib dan integriti KPM.

"Proses untuk kes ini sejak dari awal dan guru terbabit dalam kes ini boleh buat representasi (penjelasan).

"KPM tidak berkompromi dalam soal keganasan yang kini kita tunggu hasil (keputusan) siasatan berhubung kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan kes dua pelajar perempuan yang menyertai kejohanan bola tampar yang ditampar jurulatihnya yang juga seorang guru.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada sidang media berhubung program Pasar Percuma Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan rakaman insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya pada satu kejohanan bola tampar yang kemudian tular dalam media sosial.

FADHLINA (kanan) ketika sidang media di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor. FOTO Danial Saad
FADHLINA (kanan) ketika sidang media di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Panchor. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 1:23 PM