Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) mahu pengurusan sekolah di seluruh negara melaksanakan penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di sekolah bagi memastikan keselamatan guru serta pelajar terjamin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana KPM sudah menyarankan kepada pihak sekolah untuk pelaksanaan penilaian terbabit dan ia dalam pemantauan pihak kementerian.

"Tak ada masalah (saranan untuk melaksanakan penilaian risiko di sekolah) kerana itu memang kita laksanakan dan ia dalam pemerhatian pihak kita (KPM).

"Oleh sebab itu juga, ia adalah susulan dengan peruntukan RM70,000 untuk menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah (termasuk tandas).

"Ini memang sangat kena pada masanya dan dalam masa sama kita ingatkan semua sekolah kena ambil langkah berhati-hati dalam memastikan keselamatan murid dalam bangunan, kawasan atau premis sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung Kerajaan Perak meminta pihak sekolah di negeri itu melakukan penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di premis berkenaan.

Ia susulan kejadian seorang murid perempuan tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di Perak cedera selepas tangki pam tandas jenis seramik jatuh lalu menimpanya sehingga menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir di majlis pelancaran Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Kampung Sungai Acheh, di sini, hari ini.

FADHLINA Sidek berucap pada Majlis Pelancaran Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
FADHLINA Sidek berucap pada Majlis Pelancaran Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Ketika ditanya berhubung pelajar tingkatan satu yang maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah di Melaka, Fadhlina berkata, langkah intervensi sama diambil bagi memastikan keselamatan pelajar terjaga.

"Kita memang di peringkat KPM ada konsep sekolah selamat. Ia bukan saja selamat daripada gangguan buli, tetapi juga dari segi infrastruktur

"Jadi, kita mesti pastikan sama-sama membuat intervensi dan memastikan (keselamatan) anak kita dari semasa ke sesama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 3:03 PM