AHMAD mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan merasuah RM400 kepada anggota polis kerana tiada lesen untuk memandu van, dua minggu lalu. FOTO NSTP
AHMAD mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan merasuah RM400 kepada anggota polis kerana tiada lesen untuk memandu van, dua minggu lalu. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Shah Alam: Pekerja am sebuah syarikat perusahaan sejuk beku warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merasuah RM400 kepada anggota polis kerana tiada lesen untuk memandu van, dua minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad M Jamil Rukbi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Arab di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Bapa kepada empat anak itu mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa Syria selama tiga minit.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah menawarkan suapan wang RM400 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Tawaran rasuah itu supaya tertuduh tidak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada Lesen Vokasional Kenderaan.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Persiaran Kewajipan USJ 7, Subang Jaya, pada 9.25 pagi, 11 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh adalah warga asing dan didapati menetap lebih masa di negara ini.

Bagaimanapun, peguam S Narasimhan yang mewakili Ahmad memohon anak guamnya diikat jamin kerana memasuki Malaysia secara sah dan turut berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) pada 2022.

"Selain itu, dia mempunyai tanggungan isteri dan empat anak di negara ini.

"Nilai bagi kes ini juga hanya RM400 dan saya berharap anak guam dibenarkan jaminan hanya kerana bukan warga negara," katanya.

Bagaimanapun, Anita menolak permohonan pembelaan yang diminta supaya mengemukakan dokumen berkaitan UNHCR dan menetap lebih masa iaitu selama setahun tujuh bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 1:02 PM