Chun Wai Hou mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi suapan RM400 kepada anggota polis.
Chun Wai Hou mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi suapan RM400 kepada anggota polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Juruteknik pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM400 kepada anggota polis supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang disyaki memiliki dadah.

Tertuduh, Chun Wai Hou, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Cina di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wai Hou didakwa secara rasuah memberi suapan RM400 kepada Lans Koperal Mohd Firdaus Abd Talib yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ia sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipalnya untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya yang dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki sembilan paket dadah.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di tepi jalan Puchong Mutiara, Petaling di sini, pada 14 Julai lalu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Juruteknik itu turut berdepan pertuduhan pilihan atas perbuatan sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai satu perempat daripada tempoh lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM V Yunaisvari tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu sedang menjalani pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah memaklumkan reman terhadap tertuduh dilanjutkan dan menetapkan 21 September ini bagi tempoh lantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 4:03 PM