Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seorang lans koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan meminta dan menerima suapan babit nilai keseluruhan RM550, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rushisham Rusli, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mohd Rushisham dituduh secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai RM400 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan melakukan ujian air kencing terhadapnya dan seorang lagi lelaki lain kerana disyaki mengambil dadah.

Kesalahan dilakukan di gelanggang bola tampar di Balai Polis Kamunting antara jam 10 pagi hingga 11 malam, 27 April 2016, yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 Anggota polis berpangkat lans koperal, Mohd Ruhisham Rusli, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan sejumlah RM550 lima tahun lalu. Tertuduh,  mengaku tidak bersalah yang bertugas di Balai Polis Kamunting telah secara rasuah meminta suatu suapan daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan melakukan ujian air kencing terhadapnya dengan seorang lagi lelaki lain kerana disyaki mengambil dadah. Tertuduh melakukan kesalahan berkenaan di gelanggang bola tampar di Balai Polis Kamunting antara jam 10 pagi hingga 11 malam, 27 April 2016. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Tertuduh juga dituduh secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM50 daripada individu sama di tarikh dan lokasi serupa sebagai dorongan tidak mengambil tindakan berkenaan, manakala didakwa menerima suapan RM100 yang berkait kes sama di dalam khemah di belakang sebuah stesen minyak di Selama, pada 6.30 petang hingga 7.30 petang, 29 April 2016.

Bagi dua kesalahan itu, Mohd Rushisham didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin yang menawarkan jaminan RM15,000 atas semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Ranjit Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan mengambil kira tanggungan tertuduh iaitu seorang isteri dan dua anak berusia sembilan dan tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke pejabat SPRM Taiping setiap bulan dan sebutan semula kes ditetapkan 22 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 3:14 PM