MOHAMAD Hilmi ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  di sini. FOTO Fathil Asri
MOHAMAD Hilmi ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini. FOTO Fathil Asri
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 membabitkan unsur nadir bumi (REE) di sekitar negeri itu.

Tertuduh, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Saya faham, mengaku tidak bersalah," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membantu syarikat itu untuk mendapat kelulusan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini, pada 4 Julai lalu.

Dia turut didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama (Liana) bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini, pada 11 Julai lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:24 AM