Kempen kesedaran #JanganKenaScam menampilkan jerayawara yang membolehkan individu merasai situasi bagaimana penipuan berlaku secara praktikal. - FOTO ABM
Kempen kesedaran #JanganKenaScam menampilkan jerayawara yang membolehkan individu merasai situasi bagaimana penipuan berlaku secara praktikal. - FOTO ABM
Muhamad Shaifullah Tayep

Setiap individu memainkan peranan dalam memerangi penipuan.

Ia bermula dengan pendidikan anti-penipuan iaitu melengkapkan diri dengan pengetahuan untuk memahami taktik penipuan yang semakin berkembang bagi melindungi keselamatan kewangan dengan lebih baik.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan dalam kalangan orang ramai, bank-bank di bawah naungan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) melancarkan kempen kesedaran #JanganKenaScam pada Oktober 2023.

Kempen kesedaran #JanganKenaScam adalah usaha industri perbankan yang diperkukuh untuk mencegah penipuan aktiviti perbankan.

Ia bertujuan memacu mesej tunggal ke seluruh negara bagi menyatukan rakyat Malaysia untuk menentang penipuan.

Selepas dilancarkan di Lembah Klang, kempen kesedaran #JanganKenaScam kini akan diadakan secara menyeluruh bagi membawa mesej kepada bandar dan komuniti di seluruh Malaysia.

Kempen kesedaran #JanganKenaScam menampilkan jerayawara yang menawarkan individu cara praktikal untuk mengalami situasi bagaimana penipuan berlaku dalam kehidupan sebenar.

Pengalaman eksklusif ini mempersiapkan orang ramai dengan cara untuk mengetahui penipuan kewangan secara menyeronokkan dan praktikal.

Dengan panduan dan petua praktikal, jerayawara #JanganKenaScam membolehkan peserta untuk membuat keputusan tepat dan lebih bersedia untuk melindungi diri daripada ancaman penipuan yang sentiasa berleluasa.

Jerayawara #JanganKenaScam yang pertama bermula pada November 2023 di Pusat Beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya.

Hampir 30,000 orang awam mengambil bahagian dalam pengalaman pendidikan penipuan yang interaktif itu.

Sejak itu, jerayawara #JanganKenaScam telah diadakan di Aman Central, Alor Setar dan Dataran Pahlawan, Melaka pada Februari dan Mac 2024.

Image

#JanganKenaScam turut mendekati pelajar universiti di institusi pengajian tinggi melalui program bermanfaat bagi mewujudkan kepentingan rasa bertanggungjawab terhadap penipuan kewangan.

Ia juga bertujuan melindungi kesejahteraan kewangan generasi akan datang.

Program ini menawarkan ceramah kesedaran penipuan oleh pakar penipuan, simulasi lakonan penipuan dengan Key Opinion Leader (KOL) dan pengaktifan jerayawara interaktif membabitkan pelajar.

Bermula dengan Kampus Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sg Long, Program Jangkauan Universiti #JanganKenaScam akan diadakan di lebih banyak institusi pengajian tinggi pada masa akan datang.

Image

Kempen kesedaran #JanganKenaScam turut mendekati masyarakat setempat melalui program komuniti hasil kerjasama bank dengan masjid dan pasar raya tempatan bagi meningkatkan kesedaran penipuan dalam kalangan mereka yang mungkin tidak mempunyai pendedahan digital terutamanya warga tua.

Beberapa jerayawara bermaklumat akan diadakan yang mempamerkan taktik penipuan biasa bagi mendidik orang ramai yang berkunjung ke kedai runcit atau berada di masjid tentang penipuan.

Kempen kesedaran #JanganKenaScam turut menghimpunkan rakan media sebagai rakan kerjasama dalam memerangi penipuan supaya mampu menjangkau dan mendidik seramai mungkin rakyat Malaysia.

Industri perbankan baru-baru ini mengadakan bengkel untuk media yang dihadiri pengamal media profesional untuk berkongsi tentang penipuan.

Ia juga berfungsi sebagai platform untuk wartawan dan pakar industri bertukar pandangan dan meneroka strategi untuk memerangi penipuan kewangan secara berkesan bersama-sama.

Image

Pengerusi Pasukan Petugas Industri untuk Memerangi Penipuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk John Chong berkongsi industri perbankan akan melaksanakan lima langkah utama, termasuk mengetatkan parameter pemantauan penipuan ketika bengkel bersama media, baru-baru ini.

Hasilnya, sebanyak 15 bank berjaya menyekat RM383 juta membabitkan transaksi penipuan pada 2023.

Nantikan acara dan jerayawara #JanganKenaScam yang akan datang berhampiran anda.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen kesedaran #JanganKenaScam dan tarikh acara #JanganKenaScam Fest akan datang, layari www.jangankenascam.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 8:50 AM