Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Derek John Fernandez. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Derek John Fernandez. FOTO ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dicadangkan untuk beroperasi 24 jam sehari dan dilengkapi kemudahan canggih bagi mengendalikan kes penipuan dalam talian, yang semakin berleluasa ketika ini.

Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Derek John Fernandez berkata, ia bagaimanapun membabitkan kos yang memerlukan peruntukan daripada kerajaan.

Beliau berkata, ketika ini pusat berkenaan beroperasi dari 8 pagi sehingga 8 malam pada hari bekerja berikutan kekurangan kakitangan selain kekurangan kemudahan logistik dan teknologi.

"Kami mencadangkan supaya tempoh operasi NSRC dinilai semula sama ada dapat beroperasi sepanjang masa dan dilengkapi kemudahan teknologi yang bukan saja dapat mengendalikan kes penipuan tetapi juga menjalankan siasatan.

"Sebagai contoh, sekiranya 'scammer' tidak berjaya (menipu mangsa), pusat itu harus mampu menjalankan siasatan untuk mengesan pelaku sekaligus menyekat operasi mereka.

"Kita mesti ingat bahawa musuh tidak tidur dan mereka sentiasa mencari mangsa," katanya ketika menyampaikan taklimat dalam Program #Jangankenascam Bersama Media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong serta Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-Lain Jenayah), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Koh Seok Keng.

Mengulas lanjut, Derek berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya menambah peruntukan bagi meningkatkan operasi NSRC.

"NSRC adalah pusat panggilan yang menerima panggilan dari orang ramai yang menjadi mangsa penipuan atau pemindahan wang kepada pihak ketiga.

"Pusat itu adalah tempat wakil SKMM, polis serta bank bekerjasama menyiasat dan mengenal pasti kaedah penipuan terbabit bagi memeranginya," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan penipuan kewangan dalam talian.

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi pihak bank yang beroperasi setiap masa bagi menyekat transaksi akaun atau kad bank masing-masing sekiranya menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 4:56 PM