Foto hiasan.
Foto hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Institusi kewangan di Malaysia menyasarkan untuk melaksanakan sepenuhnya lima langkah utama Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan menjelang Jun 2023, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).

Lima langkah utama BNM untuk memerangi penipuan kewangan ialah: beralih daripada kata laluan sekali SMS (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank; tempoh pengesahan dan menunggu untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan; dan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.

Pengerusi pasukan petugas industri mengenai langkah-langkah untuk memerangi penipuan kewangan serta Ketua Pegawai Eksekutif perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan Maybank Datuk John Chong Eng Chuan melaporkan bahawa kesemua lima langkah utama telah berjalan dengan baik.

"Lebih 80 peratus bank telah pun beralih ke saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan melaporkan insiden dan membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat didaftarkan.

"Kami berharap dapat menyelesaikan semua langkah utama menjelang Jun 2023," katanya pada perbincangan meja bulat media di sini semalam.

Sementara itu, ABM dalam satu kenyataan berkata industri perbankan komited untuk mengambil pendekatan holistik ke arah menangani penipuan kewangan.

Langkah-langkah akan termasuk memperkukuh pendidikan dan kesedaran dalam kalangan orang awam di bawah Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan untuk lebih berhati-hati terhadap penipuan dan penipuan kewangan.

Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan telah dilancarkan pada Oktober 2022, dengan slogan "Awas, Fikir, Blok. Ingat 3 Saat OK". Ia merupakan kempen seluruh industri yang bertujuan untuk mendidik dan memperkasakan orang ramai untuk mengamalkan amalan dalam talian yang baik dan mewujudkan kesedaran tentang jenis penipuan.

"Orang ramai diingatkan bahawa keselamatan adalah tanggungjawab kolektif yang memerlukan pendekatan satu negara.

"Industri perbankan akan terus melakukan usaha secara holistik untuk menangani penipuan kewangan melalui tiga teras, iaitu pendidikan, tindakan dan kerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 12:23 PM