PERTENGKARAN suami isteri yang tular di media sosial. FOTO tular
PERTENGKARAN suami isteri yang tular di media sosial. FOTO tular
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Batu Gajah: Polis merujuk insiden pertengkaran mulut sebuah keluarga di sini yang tular di media sosial kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, polis menerima dua laporan berhubung insiden itu yang masing-masing dibuat seorang lelaki serta wanita yang juga isteri lelaki itu.

Katanya, laporan pertama dibuat oleh lelaki berumur 53 tahun yang tidak berpuas hati dengan tindakan anak perempuannya sendiri menyebarkan video pertengkaran mulut antara dia dan isteri yang dianggap boleh menjejaskan maruah dan kerjayanya.

Beliau berkata, laporan polis kedua pula diterima daripada isterinya yang berumur 53 tahun kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya yang menuduh dengan pelbagai tuduhan semasa pertengkaran itu.

Md Noor Aehawan berkata, polis sudah memanggil serta menasihatkan anak dan isteri lelaki itu agar memadam video bagi menjaga nama baik keluarga.

"Kes dirujuk ke agensi lain iaitu SKMM bagi tindakan lanjut. Bagi laporan dibuat isteri lelaki itu, tujuannya untuk rujukan mahkamah kerana dia dan suami dalam proses perceraian.

"Polis sentiasa bersedia membantu dan menjaga keharmonian masyarakat dalam apa jua situasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, insiden pertengkaran itu tular di media sosial X apabila didedahkan sendiri oleh anak perempuan sulung keluarga terbabit menerusi satu rantaian hantaran pada semalam.

Berdasarkan hantaran yang sudah dipadamkan itu, lelaki itu yang juga penjawat awam di Gopeng didakwa bertindak melampaui batas dengan mengasari anak dan isterinya sehingga menyebabkan ahli keluarga mengalami masalah mental.

Menerusi hantaran itu, wanita terbabit mendakwa bahawa keluarganya sudah menderita agak lama dengan sikap tidak bertanggungjawab bapanya yang bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 5:59 PM