KEADAAN di lokasi kejadian. Gambar kecil, Shee Hun Kong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN di lokasi kejadian. Gambar kecil, Shee Hun Kong. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Lelaki warga emas yang menghidap darah tinggi ditemui mati selepas dia dikatakan bertengkar dan bergelut dengan jirannya yang berang berikutan menemui najis haiwan peliharaannya di hadapan rumah di Taman Pekan Baru, Parit Buntar, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima aduan 1.33 pagi memaklumkan mangsa, Shee Hun Kong, 68, ditemui terbaring kaku di sisi anjingnya oleh seorang lelaki.

Menurutnya, hasil maklumat yang diterima, pihaknya segera menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal dan laporan dari isteri mangsa, pada 12.30 tengah malam, mangsa dikatakan bertengkar dengan lelaki berusia 52 tahun kerana berang anjingnya membuang najis di hadapan rumah lelaki itu.

"Susulan pertengkaran itu mangsa telah ditampar di muka sebelum lelaki terbabit bertindak mencurahkan air paip kepada mangsa dan anjingnya.

"Mangsa kemudiannya rebah dan terbaring di hadapan rumah lelaki berkenaan lalu ditinggalkan di lokasi kejadian sebelum ditemui seorang penduduk yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis," katanya.

Menurut beliau, susulan laporan yang dibuat, pihak polis kemudiannya menjalankan siasatan dan berjaya menahan lelaki berkenaan di rumahnya.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah masalah jantung.

"Selain itu, terdapat luka kecil di bahagian kepala dan lutut kiri mangsa dipercayai kesan dari terjatuh.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Disember bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:46 PM