RAKAMAN video tular menunjukkan dua lelaki bertengkar di sebuah tempat letak kereta.
RAKAMAN video tular menunjukkan dua lelaki bertengkar di sebuah tempat letak kereta.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Pintu kereta tercalar menjadi punca pertengkaran mulut dua individu di sebuah tempat letak kereta di daerah ini yang tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima dua laporan polis daripada kedua-dua individu berkenaan berhubung kejadian itu jam 5.19 petang pada 31 Julai.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pintu kereta yang dibuka terkena kenderaan bersebelahan.

"Kejadian itu mencetuskan pertengkaran antara kedua-dua pihak terbabit. Tiada kerosakan harta benda serta kecederaan dialami dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua pihak sudah menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik dan tidak mahu memanjangkan siasatan insiden terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 42 saat yang memaparkan dua lelaki bertengkar mulut di sebuah tempat letak kereta, di sini, tular di media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 2:49 PM