GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Pengusaha kuari bertindak mencederakan seorang pemilik kebun kelapa sawit dalam pertengkaran di sebuah ladang kelapa sawit di Bestari Jaya, di sini, pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, terdahulu pihaknya mengesan video tular mengenai pertengkaran yang berlaku antara dua kumpulan, semalam.

Menurutnya, insiden dipercayai bermula apabila beberapa pemilik kebun kelapa sawit sedang berbincang dengan pengusaha syarikat itu berhubung aktiviti mengorek pasir di kawasan mereka.

"Semasa perbincangan, suspek berusia 42 tahun dipercayai mengeluarkan ugutan jenayah dan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 23 tahun.

"Ekoran kejadian, salah seorang pengusaha kebun kelapa sawit membuat laporan polis pada hari sama sebelum suspek tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, pengusaha kuari itu diberi jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:12 PM