TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melupus bahan bukti berhubung kes bunuh pemandu e-hailing di Jalan Anjur Juara Batu 5, Jalan Apas dekat sini, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Sadam Kiram, 30, berikutan permohonan pihak pendakwaan bagi menetapkan tarikh pengurusan dan perbicaraan kes, di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad dan menetapkan 26 April depan sebagai tarikh pengurusan kes dan lantikan peguam manakala 1 hingga 3 Oktober sebagai tarikh perbicaraan.

Tertuduh pada 24 Ogos tahun lalu, pertama kali dihadapkan ke mahkamah sama, atas pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan atas kesalahan melupuskan barang bukti membabitkan penemuan mayat seorang lelaki, Nurman Bakaratu, 61, iaitu pemandu e-hailing di Jalan Anjur Juara Batu 5, Jalan Apas dekat sini, 13 Januari 2023.

Perbuatan itu iaitu melupuskan gunting dan dompet milik mangsa dilakukan di Jambatan Sungai Kinabutan Besar, Jalan Apas, dekat sini, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Tindakan itu menyebabkan keterangan mengenai kesalahan dilakukan itu hilang dengan mengetahui cara sedemikian mengelak pesalah daripada hukuman undang-undang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pada 25 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Tawau, melepas dan membebaskan lapan tertuduh termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain daripada dakwaan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 3:57 PM