Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Januari hingga April tahun hadapan untuk perbicaraan serentak kes bunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, 13 Januari lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menetapkan tarikh itu selepas kes terhadap bekas Ketua Perisikan Esscom, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, bersama tujuh yang lain disebut semula hari ini dan semua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 2 hingga 5 Januari; 15 hingga 17 Januari; 22 hingga 26 Januari, dan 29 Januari hingga 2 Februari.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan tarikh tambahan iaitu pada 19 hingga 23 Februari, 4 hingga 8 Mac, 11 hingga 13 Mac, 25 hingga 28 Mac, 1 hingga 4 April dan 22 hingga 26 April.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui.

Mahkamah turut dimaklum 25 hingga 30 saksi pendakwaan termasuk kira-kira empat pakar dijangka dipanggil untuk memberi keterangan, manakala pembelaan dijangka mengemuka 32 saksi.

MAT Zaki Md Zain mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat membunuh pemandu e-hailing di Tawau. FOTO NSTP.
MAT Zaki Md Zain mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat membunuh pemandu e-hailing di Tawau. FOTO NSTP.

Pada 8 Februari lalu, enam anggota polis termasuk seorang awam iaitu Rosdi Rastam, 44; Denis Anak Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan Vivien Fabian, 34 (wanita wanita warga Indonesia) dituduh membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Pada 11 April, seorang lagi anggota polis, John Kennedy Sanggah, 44, turut didakwa atas pertuduhan membunuh Nurma, di tempat dan waktu yang sama.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John Kennedy mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 9:13 PM