Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Seorang lagi anggota polis yang bertugas dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing, 13 Januari lalu.

Tertuduh, John Kennedy Sanggah, 44, yang sebelum ini diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama enam orang yang dituduh pada 13 Januari lalu, bagi mencapai niat bersama membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Kesalahan itu didakwa di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

JOHN Kennedy keluar dari bilik bicara selepas dituduh membunuh Nurman di Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Mohd Adam Arinin
JOHN Kennedy keluar dari bilik bicara selepas dituduh membunuh Nurman di Mahkamah Majistret Tawau. FOTO Mohd Adam Arinin

Terdahulu, Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes terhadap bekas Ketua Staf Perisikan Esscom, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, yang dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun, kerana bersubahat dengan enam individu untuk membunuh lelaki tersebut.

Prosiding hari ini dikendalikan pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhamad Iskandar Ahmad, TPR Muhammad Ilmami Ahmad, TPR Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim dan TPR Low Win Hui.

Manakala John Kennedy dan Mat Zaki diwakili peguam bela Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Sementara itu, di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, Mahkamah turut menetapkan tarikh sama iaitu 7 Julai depan bagi sebutan semula kes terhadap lima lagi anggota polis dan seorang wanita (orang awam) membabitkan kes sama.

Kesemua tertuduh, Rosdi Rastam, 44; Denis Anak Anit, 44; Fabian Anak Rungam, 43; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 39; dan orang awam Vivien Fabian, 34, masing-masing hadir dengan diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:25 PM