Rosli (kiri) mengaminkan doa selepas selesai membayar zakat fitrah, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Rosli (kiri) mengaminkan doa selepas selesai membayar zakat fitrah, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Berang: Seramai 141 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli di perkampungan Sungai Berua di sini, menunaikan kewajipan membayar zakar fitrah tahun ini.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melantik dua amil untuk membuat kutipan zakat fitrah yang diadakan di perkarangan Pusat Pentadbiran Kecil Kampung Sungai Berua, semalam.

Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh, 48, berkata semua masyarakat Orang Asli di penempatan itu dimaklumkan bahawa MAIDAM membuka kaunter kutipan zakat fitrah Selasa lalu.

"Kita tidak memaksa mereka, sebaliknya menjelaskan menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk membayar zakat fitrah.

"Terima kasih kepada pegawai MAIDAM kerana membuka kaunter bagi memudahkan masyarakat Orang Asli menunaikan kewajipan rukun Islam keempat itu," katanya ketika ditemui.

Penduduk, Alias Peluang, 53, berkata beberapa ketua keluarga terpaksa menangguhkan masuk ke hutan mencari kayu gaharu kerana tidak mahu melepaskan peluang membayar zakat fitrah.

"Apabila dimaklumkan bahawa MAIDAM akan membuka kaunter kutipan zakat pada Selasa lalu, saya tidak lepaskan peluang kerana sebelum ibi terpaksa ke kampung berdekatan untuk membayar zakat kepada amil yang dilantik," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail memaklumkan, seramai 563 orang membayar zakat fitrah mengukir ketetapan iaitu sebanyak RM10 seorang.

Bagaimanapun katanya, seorang masyarakat Orang Asli di perkampungan itu membuat pembayaran melebihi daripada kadar ditetapkan iaitu RM12.

"Kita berjaya membuat pungutan zakat fitrah daripada masyarakat orang asli di perkampungan itu sebanyak RM6,542," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 10:01 AM