SEORANG jemaah membayar zakat fitrah pada amil zakat yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor MAIS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO BERNAMA
SEORANG jemaah membayar zakat fitrah pada amil zakat yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor MAIS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Biarpun masih dalam fasa Covid-19 namun Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima RM256.9 juta kutipan zakat harta dan fitrah sejak Januari hingga kini.

Jumlah itu jelas meningkat berbanding RM188 juta yang dikutip bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kutipan secara konvensional serta atas talian itu meningkat antara lima ke 10 peratus sekaligus menunjukkan komitmen umat Islam dalam menunaikan kewajipan berzakat walaupun masih dikekang wabak Covid-19.

"Kaedah pembayaran zakat secara konvensional masih menjadi pilihan utama, mungkin kerana suasana yang berbeza dirasai apabila bertemu sendiri penolong amil fitrah.

"Dalam pada itu, kita dapat lihat peningkatan mendadak pembayaran zakat menerusi atas talian juga kerana ia lebih mudah, selamat serta cepat.

"Bagaimanapun, LZS menggalakkan pembayar untuk menunaikan kewajipan masing-masing secara konvensional yang mana seramai 2,700 penolong amil fitrah dilantik untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah.

"Mereka ditempatkan di lokasi tumpuan orang ramai (pusat beli belah) serta di 400 masjid dan surau di seluruh negeri Selangor," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri 2022 di sini, tadi

Mengulas lanjut, Mohd Sabirin berkata bagi zakat fitrah, sejumlah RM2.8 juta sudah dikutip sehingga 19 April lalu melalui saluran pembayaran atas talian dan bagi saluran konvensional, jumlah kutipan akan diperolehi selepas Ramadan ini.

Katanya, LZS mensasarkan RM3.5 juta kutipan zakat fitrah diperolehi bagi semua saluran pembayaran sehingga akhir Ramadan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 2:27 PM