Suraya Ali dan Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing menghadiahkan kuntuman bunga kepada semua wanita yang menghadiri Majlis Apresiasi Media Kementerian Pelancongan (Motac) sempena Hari Wanita di sini, hari ini.

Tiong menyampaikan sendiri sekuntum bunga untuk setiap tetamu wanita yang hadir sebagai simbolik penghargaan Motac kepada wanita.

Wartawan NST, Iylia Marsya Iskandar, 25 berkata beliau terharu dan terkejut menerima sekuntum mawar merah daripada Tiong.

"Saya sangka kami akan diberi bunga secara umum tetapi apabila YB Menteri sendiri datang ke meja dan menyerahkan bunga, saya rasa dihargai," katanya kepada BH.

Wartawan sambilan Selangor Kini, Nas Norziela Nasbah pula berkata beliau rasa dihargai dengan pemberian bunga yang diberikan oleh pemimpin Motac itu.

"Saya rasa sangat dihargai. Ini pertama kali dapat bunga daripada Menteri," katanya.

Hampir 1,000 pengamal media diraikan pada Malam Penghargaan Motac itu.

TIONG beramah mesra dengan pengamal media pada majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan Motac 2024, malam ini. FOTO Rohanis Shukri
TIONG beramah mesra dengan pengamal media pada majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan Motac 2024, malam ini. FOTO Rohanis Shukri

Pada majlis itu, Motac turut memperkenalkan makanan warisan Malaysia seperti mi kolok, laksa nyonya, pasembur dan buah-buahan tempatan.

Selain sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media atas sokongan kepada Motac sepanjang tahun lalu, majlis itu turut bertujuan menguar-uarkan program Motac sepanjang tahun yang dilaksanakan jabatan serta agensi dibawahnya kepada rakan media.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Zaini mewakili Media Prima Berhad (MPB) menerima cenderahati penghargaan daripada Motac atas sumbangan media kepada usaha kementerian mempromosikan pelancongan negara.

Pembukaan majlis apresiasi itu dibuka dengan persembahan tarian singa selain persembahan Voices of Malaysia bagi menonjolkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara ini.

Selain persembahan, menu makanan hidangan makan malam turut menampilkan kepelbagaian budaya di negara ini.

Antara menu yang dihidangkan termasuk set sarapan pagi yang dicadang dimasukkan ke Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Hidangan lain termasuk laksa Sarawak, satay, cendol dan buah-buahan tempatan.

TIONG (dua kiri) bersama Ahmad Zaini (tengah) dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim (kanan) pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024, malam ini. FOTO Aswadi Alias
TIONG (dua kiri) bersama Ahmad Zaini (tengah) dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim (kanan) pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024, malam ini. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 12:26 AM