Mohd Nasaruddin Parzi

Putrajaya: Kerajaan akan memastikan pemerkasaan ekonomi serta usaha memartabat seni dan budaya akan berjalan seiring dalam usaha memperkukuh jenama negara ke persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu Festival Budaya Putrajaya 2023, yang bermatlamat mendekatkan masyarakat umum serta antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia dijadikan sebagai acara tahunan.

Beliau berkata, penganjuran festival seumpama itu penting bagi mengangkat dan memperkasa nilai budaya tempatan, di samping bertujuan memperkukuh industri pelancongan negara.

"Masyarakat itu perlu kekuatan bukan saja ekonomi, tetapi juga pemerkasaan seni dan budaya. Sebab itu penting Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) menganjurkan program yang boleh angkat martabat seni lukis, puisi, filem dan teater serta tarian.

"Pemerkasaan ekonomi dan budaya dalam negara dengan kepelbagaian yang ada ini adalah satu kekuatan. Tidak banyak negara dunia boleh mempamerkan seni budaya, dengan Melayu sebagai terasnya serta suku lain dari Perlis sampai ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian berucap melancarkan Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya di sini, malam ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

ANWAR (tiga, kanan) ketika merasmikan Malam Gala Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ANWAR (tiga, kanan) ketika merasmikan Malam Gala Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memberi jaminan fokus diberi dalam Belanjawan 2024 untuk memperkasa industri pelancongan negara, memandangkan ia sektor penting yang menyumbang kepada pendapatan negara.

"Saya beri jaminan, pelancongan ini satu bidang ekonomi sangat penting, maka MOTAC harus percaya bahawa ia akan jadi fokus (dalam Belanjawan 2024) selain teknologi dan makanan.

"Dalam belanjawan negara, kita akan bagi pemusatan kepada industri pelancongan dan pemerkasaan seni dan budaya ini," katanya.

Festival Budaya Putrajaya 2023 berlangsung sejak Khamis hingga esok, mempromosi pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini, khususnya di Putrajaya.

Bertemakan 'Perpaduan Melalui Seni Budaya', festival ini turut menyaksikan satu lagi catatan sejarah tercipta dalam Malaysia Book of Records melalui penganjuran Konsert Mega Dikir Barat & Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diiringi Orkestra Tradisional.

Lima segmen persembahan dipertonton iaitu Paluan Buka Panggung dan Bertabuh, Persembahan Lagu Jogho, Battle Tukang Karut, Lagu Rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 orang awak-awak.

Antara artis jemputan turut memeriahkan konsert mega ialah Syamel, Liza Hanim, Bunga Isme, Amsyar Leee, Nadeera serta persembahan tarian etnik tradisional pelbagai kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 11:08 PM