AHMAD Zahid Hamidi (tiga kiri) bersama Ab Rauf (tiga, kanan) serta Tiong (kanan)  bersama maskot rasmi Tahun Melawat Melaka Tahun 2024 Tuah dan Teja pada Pelancaran TMM 2024 di Matic malam ini.  FOTO Bernama
AHMAD Zahid Hamidi (tiga kiri) bersama Ab Rauf (tiga, kanan) serta Tiong (kanan) bersama maskot rasmi Tahun Melawat Melaka Tahun 2024 Tuah dan Teja pada Pelancaran TMM 2024 di Matic malam ini. FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerajaan Melaka mensasarkan kehadiran sekitar 18.7 juta pelancong dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, yang dilancarkan secara rasmi malam ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pihaknya juga yakin kehadiran pelancong sempena TMM 2024 itu akan membantu negeri itu mencapai sasaran peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi negeri itu kepada lima peratus tahun ini.

Bagi merealisasikan sasaran itu, beliau memaklumkan pelbagai acara dan produk pelancongan baharu dirancang sepanjang tahun depan, yang antara lain dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Antara yang dirancang adalah kita akan tetapkan satu hari pada tahun depan untuk pelancong yang datang bermalam di Melaka dapat menaiki River Cruise secara percuma sepanjang hari.

"Kita juga akan mengadakan cabutan bertuah khusus untuk pengunjung di Melaka, dengan hadiah utama berupa empat buah kereta yang akan diberikan satu setiap tiga bulan, selain pelbagai hadiah lain.

"Kerajaan Melaka juga merancang mewujudkan River Cruise fasa dua di Sungai Paya Lebar di Masjid Tanah, yang mana pengunjung boleh melihat sendiri sekitar 1,400 buaya di sepanjang 15 kilometer sungai itu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TMM 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Selain itu, Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Rafiq Razali dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan antara tarikan lain yang dirancang sepanjang tahun depan adalah pertandingan memancing besar-besaran di Sungai Melaka, restoran terapung di Sungai Paya Lebar, pertandingan masakan ikan air tawar, Minggu Jerman dan sebagainya.

Katanya, kerajaan Melaka turut melantik duta pelancongan atau Sukarelawan TMM 2024 dalam kalangan remaja berusia 18 hingga 25 tahun, dengan lebih 800 individu sudah mendaftar setakat ini.

Beliau turut mengumumkan pengisytiharan 20 Februari setiap tahun sebagai cuti umum di Melaka sempena pengisytiharan kemerdekaan Malaysia di bumi bersejarah itu.

"Kita juga akan mengambil kesempatan sempena TMM 2024 untuk mempromosikan kawasan strategik untuk pelabur datang ke Melaka, selain memberi fokus pada pelancongan kesihatan dan pendidikan," katanya.

Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan Media Prima Berhad sebagai media rasmi TMM 2024, dan memaklumkan syarikat media bersepadu itu dipilih kerana 'ia adalah media terbaik dari timur ke barat'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:22 AM