PENYANYI nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut membuat persembahan pada malam Sambutan TMM 2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024. FOTO Bernama
PENYANYI nombor satu Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut membuat persembahan pada malam Sambutan TMM 2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024. FOTO Bernama
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi memperhebat promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan terbabit disalurkan selepas melihat Melaka mampu melakar kejayaan dalam sektor pelancongan menerusi penganjuran TMM2024.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing atas penyaluran peruntukan terbabit selain melihat sambutan ini sebagai satu kejayaan dan kebanggaan rakyat Melaka.

"MOTAC sangat menghargai kesungguhan kerajaan negeri dan seluruh warga kerja di bawah portfolio pelancongan yang menjayakan pelancaran TMM2024 serta dan Ambang Tahun Baharu 2024.

"Saya yakin, MOTAC akan sentiasa memberi sokongan kepada kita kerana Melaka adalah antara negeri yang diiktiraf sebagai sebuah negeri kota warisan yang perlu diberikan perhatian untuk sentiasa dipelihara dan dipulihara," katanya selepas menghadiri pelancaran TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat negeri di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; serta EXCO Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Abd Razak Abd Rahman.

Selain itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Ketua Pegawai Operasi MPB Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

MPB adalah rakan media rasmi TMM2024.

Sebelum ini, Melaka bersama tiga negeri lain yang menganjurkan tahun melawat negeri menerima peruntukan keseluruhan RM5 juta sebagai langkah mempromosi serta menambah baik produk pelancongan negeri masing-masing.

Pelancaran TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024 peringkat negeri diadakan, malam tadi.

Sejurus detik 12 malam, percikan bunga api mewarnai ruang angkasa Bandaraya Melaka diiringi lagu rasmi TMM2024, Senandung Anak Melaka nyanyian Yaser Fikri.

Pemenang cabutan bertuah turut diumumkan dengan pengunjung dari Bukit Rambai, Mohd Rohizat Idris menerima PROTON X70 bernilai RM98,800 diikuti pemenang Yamaha EGO berharga RM9,800 (Norin Azlin Abu Hassan), TV Samsung 60 inci (Sri Yuhanis Abu Hasan), TV Phillips (Anggun Anang Abdullah), peti sejuk Toshiba (Siti Salwah Abu Bakar dan Zarul Zakuan Mohd Sa'ay), TV Phillip 55 inci (Muhamad Saiful), penghawa dingin (Amira Marissa Muhammad Hisham), peti sejuk Media (Norazlin Idris), TV Sharp 60 inci (Ahmad Wafiq Tolsalam) dan mesin basuh Khind (Hanizam).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:07 PM