Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Istana Iskandariah, di sini, malam ini, khusus bagi meraikan pengamal media sempena program sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di Ipoh.

Kira-kira 300 tetamu yang rata-ratanya pengamal media atau wartawan dari seluruh negara yang mengikuti Hawana 2023 secara langsung membabitkan pelbagai rumah penerbitan, hadir pada majlis dalam suasana santai itu.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ahli Dewan Negara Perak yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Istana Iskandariah khusus bagi meraikan pengamal media sempena program sambutan Hawana 2023. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Istana Iskandariah khusus bagi meraikan pengamal media sempena program sambutan Hawana 2023. FOTO L Manimaran

Majlis itu dianggap suatu bentuk pengiktirafan besar kepada profesyen kewartawanan di negara ini khususnya dalam penyampaian maklumat melalui pengolahan berita yang akan mencanai pemikiran dan mempengaruhi tindakan masyarakat.

Semalam, tiga individu pengamal media dari latar kewartawanan diperkenankan oleh Sultan Nazrin untuk diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid bertajuk 'Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-Nilai Islam' bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional pada 29 Mei ini yang mana ia turut dianggap sebagai bentuk pengiktirafan tertinggi kepada pengamal media.

Hawana 2023 yang mengangkat tema "Media Bebas, Tunjang Demokrasi" dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan pelaksanaannya dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) disertai lebih 1,000 pengamal media seluruh negara.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Kemuncak Hawana 2023 pada petang esok bakal menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka merasmikan Hawana 2023 di Hotel Casuarina @Meru selain turut akan membuat beberapa pengumuman penting berkenaan hala tuju industri media yang ketika ini berhadapan dengan pelbagai tekanan, antaranya dari segi ekonomi, selain perkembangan teknologi yang mendorong perubahan dalam aspek penerbitan akhbar.

AHMAD Zaini (kanan), Husain (kiri) dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Kamaruddin Mape antara pengamal media yang hadir pada majlis santapan malam bagi meraikan kira-kira 300 pengamal media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2023) di Istana Iskandariah malam ini. FOTO Bernama
AHMAD Zaini (kanan), Husain (kiri) dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Kamaruddin Mape antara pengamal media yang hadir pada majlis santapan malam bagi meraikan kira-kira 300 pengamal media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2023) di Istana Iskandariah malam ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 9:48 PM