GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada adalah tidak kurang RM10 seorang.

Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa lalu.

Menurutnya, terdapat dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari berdasarkan harga gred Super Tempatan dengan lima peratus hancur dalam pasaran.

"Kadar zakat umat Islam yang memakan beras jenis Basmathi atau yang setara adalah RM22 seorang, manakala pengguna beras tempatan adalah RM10 seorang," katanya kepada media selepas merasmikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan Asnaf Fakir Miskin di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, seramai 903 amil dilantik untuk membuat kutipan zakat fitrah pada tahun ini.

Menurutnya, Maidam mensasarkan dapat mengutip zakat fitrah tahun ini sebanyak RM11 juta berbanding hanya RM10.3 juta tahun lalu.

"Kita juga menyarankan semua amil membuat kutipan zakat fitrah dari rumah ke rumah dan bukan hanya memberi tumpuan di masjid atau surau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 1:17 PM