GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kadar zakat fitrah di Selangor tahun ini ditetapkan RM7 setiap seorang.

Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Muhd Fikri Naim Harun berkata, penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor.

Beliau berkata, LZS bagaimanapun amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

"Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan Ramadan.

"Kadar zakat fitrah berkenaan adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi atau RM21 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini sudah dilaksanakan LZS sejak 2018.

Katanya, bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada Ramadan, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

"Antaranya, EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; Perbankan internet; Portal MyEg dan Pos Online serta aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

"Dalam pada itu, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

"Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan sepanjang berurusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 5:35 PM