KADAR bayaran fitrah di Terengganu pada tahun ini ditetapkan pada RM7 seorang. FOTO NSTP
KADAR bayaran fitrah di Terengganu pada tahun ini ditetapkan pada RM7 seorang. FOTO NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


KADAR bayaran fitrah di Terengganu pada tahun ini ditetapkan pada RM7 seorang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata, kadar itu bersamaan dengan nilai satu gantang Baghdad atau 2.60 kilogram atau 2.97 cupak beras.

Katanya, pembayaran zakat boleh dibuat secara tunai kepada amil bertauliah, bayaran dalam talian menggunakan aplikasi Snap & Pay.

Ia boleh dimuat naik menerusi aplikasi ‘Google Play’ dan ‘Play Store’ serta ‘Financial Process Exchange’ (FPX) yang boleh diakses menerusi portal rasmi www.maidam.gov.my.

“Selain itu, pembayar juga boleh menggunakan saluran perbankan Internet yang dilantik oleh MAIDAM. Maklumat berkaitan boleh diperoleh di www.maidam.gov.my.

“Bagaimanapun, MAIDAM menggalakkan umat Islam melaksanakan pembayaran zakat dan fitrah secara atas talian untuk disesuaikan dengan keadaan sekarang yang dilanda Covid-19,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Osman berkata, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihati supaya mewakilkan bayaran zakat fitrah dan zakat lain kepada orang lain atau menggunakan aplikasi dalam talian.

Katanya, MAIDAM turut mengenakan peraturan ketat ke atas prosedur penerimaan zakat oleh amil pada tahun ini.

“Amil dikehendaki mematuhi peraturan kerajaan dengan melakukan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta tidak berjabat tangan dengan pembayar ketika urusan pembayaran dan penerimaan zakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 4:49 PM