SEORANG lelaki maut selepas jentera penggelek yang dikendalikannya terjunam ke dalam gaung di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur. FOTO ihsan bomba
SEORANG lelaki maut selepas jentera penggelek yang dikendalikannya terjunam ke dalam gaung di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas jentera penggelek yang dikendalikannya terjunam ke dalam gaung setinggi 25 meter di Kampung Cheras Baru di sini, hari ini.

Lelaki warga India berusia 41 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian 3.07 petang.

Komander Operasi Kanan, Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi kejadian mendapati sebuah jentera penggelek terjatuh ke dalam gaung sedalam 25 meter dan terdapat seorang mangsa tersepit.

"Sepasukan 10 pegawai dan anggota terbabit operasi mengeluarkan mangsa. Mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan penyelamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 6:07 PM