Proton Persona remuk teruk selepas dirempuh lori yang terbabas di KM 253 Lebuhraya PLUS dekat Senawang. FOTO ihsan bomba
Proton Persona remuk teruk selepas dirempuh lori yang terbabas di KM 253 Lebuhraya PLUS dekat Senawang. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU lori parah manakala lima sekeluarga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 253 Lebuhraya PLUS, arah selatan, dekat Senawang di Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi, lori dipandu V Ananthan, 49, dari arah Kuala Lumpur ke Johor dipercayai merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat rosak.

Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Proton Persona sebelum terjunam ke dalam gaung.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Amer Abu Kassim berkata, dua jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dengan kekuatan 15 pegawai serta anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, sebaik tiba, lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak yang menaiki Proton Persona sudah dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital manakala pemandu lori masih tersepit.

"Bomba turun ke gaung bagi menyelamatkan pemandu dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Mangsa parah di kepala dan badan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan. Kes diserahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:54 PM