Azalina ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA
Azalina ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini memberi analogi undang-undang siber di negara ini antara sebuah kereta dan basikal.

Sambil membandingkan dua jenis pengangkutan itu, Azalina berkata, undang-undang siber negara ini berada di tahap 'basikal buruk' dan kebanyakan yang ada sebelum tahun 2010.

Disebabkan itu katanya, satu pindaan perlu dilakukan dan ia bukan hanya substantif tetapi juga prosedur agar kerajaan dapat berhadapan dengan isu seperti penipuan 'scammer'.

"Kerajaan Madani kini sedang dalam proses merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan 'kill switch' untuk meningkatkan keselamatan digital secara terperinci dan jelas.

"Selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang bertanyakan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan 'scammer' dalam talian yang semakin berleluasa.

Azalina berkata, proses merangka akta baharu itu adalah berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus yang diadakan.

"Berdasarkan mesyuarat dan sesi libat urus didapati bahawa perundangan sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat.

"Ia menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa sehingga platform yang ada tidak lagi selamat dan dicemari dengan pelbagai jenayah, termasuklah penipuan dalam talian.

"Terdapat keperluan segera bagi pewujudan satu sistem 'kill switch' melalui perundangan dalam memberhentikan aktiviti-aktiviti penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara serta-merta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 2:04 PM