NADZIM (tengah) bersama Mohd Fakrunizan pada sidang media bersama di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Kuala Lumpur. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
NADZIM (tengah) bersama Mohd Fakrunizan pada sidang media bersama di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Kuala Lumpur. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara digesa untuk merayu semula hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di Melaka terhadap 16 individu yang dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang atau tujuh bulan penjara kerana melakukan penipuan dalam talian baru-baru ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berasakan hukuman yang dijatuhkan itu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh 16 individu tersebut.

Katanya, hukuman dikenakan seharusnya paling maksimum agar mereka yang melakukan penipuan dalam talian ini tidak berani melakukan kesalahan serupa selepas ini.

"Kita meminta Pejabat Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji balik dan membuat rayuan dalam masa 14 hari ini (berkenaan keputusan kes).

"Ada beberapa hari lagi (untuk dibuat rayuan) agar perkara ini tidak dilepaskan begitu sahaja dan mereka ini diberi hukuman yang setimpal," katanya pada sidang medianya di ibu pejabat PPIM di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media, Pengerusi Anti Diskriminasi dan Salah Laku, Datuk Mohd Fakrunizan Ibrahim.

Pada 28 November lalu, 16 individu dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM48,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka selepas mengaku bersalah melakukan penipuan dalam talian dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai pihak daripada pakatan jenayah telah melakukan kesalahan memperdayakan mangsa-mangsa di United Kingdom dalam tawaran pekerjaan dalam talian yang tidak wujud.

Mengulas isu sama, Mohd Fakrunizan pula melihat denda yang dikenakan sebanyak RM3,000 setiap seorang itu sebagai kecil dan tidak akan memberikan kesan kepada mereka yang melakukan penipuan dalam talian.

"'Scammer' ini selepas bayar (denda) RM3,000, dia buat balik dan (mendapatkan keuntungan) berpuluh kali ganda.

"Tolong ambil isu ini sebagai isu nasional dan ketatkan lagi undang-undang supaya 'scammer' ini tidak berani lagi membuat perkara seperti ini," katanya.

Beliau berkata, hukuman terhadap mereka yang melakukan penipuan dalam talian ini perlulah berat kerana yang menjadi mangsa kebanyakannya adalah individu susah.

"Pastikan hukuman lebih berat dikenakan kepada golongan ini sebab yang kenanya bukan orang senang tetapi orang susah dan orang kampung. Kadang-kadang yang mudah ditipu ini orang tua dan tidak berpendidikan.

"Kepada orang-orang ini, nilainya tinggi kepada mereka (kerana wang itu) hasil titik peluh masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 2:09 PM