Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menamatkan 131 nombor talian yang dikesan terbabit dengan aktiviti penipuan setakat Januari 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata, selain itu, 93 nombor talian yang meragukan juga sudah disekat.

"Pihak NSRC menerusi SKMM dan dibantu oleh industri telekomunikasi dapat mengenalpasti nombor telefon yang digunakan dalam perlakuan kesalahan penipuan ini.

"Nombor akaun dan telefon yang terbabit itu juga akan direkodkan di dalam sistem Semak Mule pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai rujukan dan panduan bagi membolehkan orang awam membuat semakan sebelum mereka meneruskan transaksi kewangan mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang bertanyakan mengenai jumlah kerugian akibat jenayah scammer dari tahun 2020 sehingga 2023 dan tindakan daripada kerajaan bagi membanterasnya secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, sepanjang tahun 2020 hingga 2023, sebanyak 107,716 kes penipuan dalam talian direkodkan membabitkan kerugian sebanyak RM3.2 bilion.

"Kerajaan tidak memandang rendah terhadap isu penipuan dalam talian dan tindakan menyeluruh yang sudah dan sedang diambil oleh kerajaan," katanya.

Antara katanya NSRC, yang berfungsi untuk mengambil tindakan penguatkuasaan menyeluruh bagi memerangi kesalahan penipuan kewangan dalam talian termasuk respons pantas dalam menjejaki dana.

Beliau berkata, usaha dilaksanakan berupaya menyekat sebahagian pengaliran dan pelupusan hasil penipuan termasuk mengesan dalang utama dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam perlakuan kesalahan ini.

"Keberkesanan NSRC terletak pada ciri pengoperasiannya, iaitu pertamanya membolehkan mangsa penipuan membuat aduan dengan mudah dengan hanya mendail nombor 997.

"Sebaik sahaja aduan mangsa diterima, pihak NSRC, yang turut dibantu oleh institusi kewangan, mampu untuk mengesan jejak kewangan mangsa. Sekiranya wang mangsa dikesan masih berada di dalam sistem perbankan, tindakan sekatan boleh dilaksanakan.

"Tindakan sekatan ini dapat menghalang pelupusan wang mangsa dan memberi peluang untuk membolehkan wang itu dikembalikan semula kepada mangsa kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:13 PM