GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta, syarikat pemilik media sosial terbesar, Facebook.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, tindakan itu diambil berikutan keengganan syarikat berkenaan memberikan kerjasama menurunkan kandungan berunsur perkauman, agama dan institusi diraja (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan penipuan.

"Di sebalik permohonan berulang kali daripada pihak SKMM, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan itu.

"Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini mengundang kebimbangan dan penelitian awam.

"Memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta tidak memadai, pihak SKMM tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah berkenaan sebagai memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.

Katanya, tindakan berkenaan perlu dalam menyemaikan tanggungjawab keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk aktiviti penipuan.

"SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalahguna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan.

"Begitu juga aktiviti siber berniat jahat, phishing ataupun sebarang kandungan yang mengganggu gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:02 AM