AZALINA. FOTO BERNAMA
AZALINA. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tiada halangan kepada rakyat untuk membawa mana-mana scammer yang boleh dikenal pasti identitinya ke mahkamah dengan kausa tindakan kukuh jika mempunyai keterangan dan bukti mencukupi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kausa tindakan yang mungkin boleh dijadikan sandaran ialah pecah janji dan lain-lain yang perlu dibuktikan oleh rakyat.

"Khidmat guaman juga wajar diperoleh bagi memastikan proses pembuktian berjalan lancar," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) tentang adakah rakyat mempunyai sebarang ruang untuk melakukan saman sivil kepada sindiket scammer.

Azalina berkata, hak rakyat mendapatkan akses kepada keadilan dan mengemukakan saman sivil terhadap mana-mana individu masing-masing adalah hak dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis lain yang berkaitan.

"Proses dan prosedur untuk mengemukakan saman sivil termaktub dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 manakala beban pembuktian dari sudut keterangan dokumentasi dan lisan di mahkamah diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950 dan perlu dibuktikan dengan jelas," katanya.

Ahli Parlimen Pengerang itu dalam masa sama berkata, sebarang bentuk penipuan oleh sindiket scammer adalah kesalahan menipu yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.

"Kes sebegini lazimnya disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan sekiranya elemen jenayah boleh dibuktikan terhadap mana-mana suspek, pertuduhan yang sesuai akan dipertimbangkan oleh Pendakwa Raya dan dan ahli sindiket scammer berkenaan boleh dibawa ke mahkamah untuk diadili dan dihukum dengan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 11:45 PM