AYU (tengah) membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara
AYU (tengah) membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penerbit Datuk Ayu Puteh terkilan kerugian lebih RM100,000 selepas pejabatnya di Damansara Damai, Petaling Jaya dipecah masuk dipercayai berlaku subuh tadi.

Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 48, tidak menolak kecurian itu memang dirancang berdasarkan modus operandi dilakukan penjenayah terbabit.

"Wang tunai lebih kurang RM100,000, kerugian pejabat musnah beratus ribu dengan harta produksi iaitu filem-filem kami, kamera dan lain. Tapi belum tahu berapa kos keseluruhan dan apa lagi musnah.

"Lapan filem 'footage' dan semua drama 'hardisk' drama kami simpan disimbah air dan peti besi semua dimusnahkan. Mereka bawa perkakas profesional buat kerja pecah masuk itu.

"Memang sangat terancang. Dawai pada bahagian atap pun semua dipotong. Kami rasa ia berlaku malam tadi hingga subuh sebab basah itu nampak baru. Mereka nak hilangkan bukti," katanya.

KEADAAN pejabat yang dipecah masuk penjenayah.
KEADAAN pejabat yang dipecah masuk penjenayah.

Sehubungan itu, Ayu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Damansara untuk tujuan siasatan.

Dia juga berharap dapat bantuan sesiapa yang ternampak kejadian itu kerana kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu pun musnah.

"Awal pagi staf saya dah hubungi dan minta untuk saya segera datang ke pejabat. Mereka mula nampak pintu depan terbuka dan syak pejabat dipecah masuk.

"Monitor dan perakam CCTV dicabut dan hilang. Kalau siapa-siapa nampak kejadian ini malam tadi atau subuh kawasan ini, harap boleh bagi maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:35 PM