FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New York: Kluster kes HIV telah dikaitkan dengan prosedur microneedling plasma (PRP) atau rawatan muka jarum mikro yang kaya dengan platlet, menurut laporan diterbitkan pada Khamis lalu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Forbes melaporkan penyiasat CDC mendapati bahawa sebuah spa di New Mexico menyediakan rawatan kosmetik yang terbabit dalam beberapa amalan tidak selamat.

Ia termasuk meninggalkan tiub darah yang tidak berlabel di meja dapur dan di dalam peti sejuk dapur, menyebabkan kemudahan tidak berlesen itu sudah diarah tutup.

Selalunya dirujuk sebagai vampire facials (rawatan muka vampire) iaitu prosedur microneedling PRP membabitkan penggunaan jarum untuk mencipta lubang kecil pada kulit.

Plasma kaya dengan platlet diperolehi daripada pelanggan, kemudian ditambahkan pada kulit yang berlubang.

Proses itu boleh mengurangkan kedutan yang berkaitan dengan penuaan dan mengurangkan keterlihatan parut, kata penyokong rawatan itu.

Tetapi menurut American Academy of Dermatology Association, "ada sedikit bukti untuk menunjukkan bahawa ia (rawatan itu) berfungsi atau tidak berfungsi".

Jabatan Kesihatan New Mexico (NMHD) mula menyiasat kejadian apabila seorang wanita disahkan positif HIV dan melaporkan tiada faktor risiko yang diketahui selain mendapatkan rawatan muka jarum mikro PRP.

Pegawai CDC dan NMHD mengenal pasti dua individu lain yang menerima rawatan muka vampire di spa pada masa yang sama dan kemudiannya diuji positif HIV.

Untuk menentukan sama ada jangkitan berkaitan, penyelidik menyusun gen virus tertentu daripada lima pesakit.

Pegawai membuat kesimpulan bahawa tiga daripada individu itu dijangkiti HIV di spa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 12:55 PM