Ali XPDC
Ali XPDC
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, semangat suami sangat kuat untuk sembuh. Dia juga sudah boleh menyanyi lagu nada tinggi di karaoke semalam," kata isteri penyanyi, Ali XPDC, 56, iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, mengenai perkembangan kesihatan suaminya selepas keluar dari hospital, sejak seminggu lalu.

Sharifah Azuwanna berkata, suaminya juga mahu kembali menyanyi selepas seminggu keluar dari hospital dan berehat di rumah.

"Kesihatan suami semakin baik dan dia sudah boleh berjalan tanpa bantuan kerusi roda.

"Kalau setakat menyanyi satu atau dua lagu secara santai dan sambil duduk tu sudah bolehlah," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai persembahan lagi, kata Sharifah Azuwanna, suaminya juga merancang untuk kembali menjayakan persembahan bersama kumpulan XPDC.

"Suami beritahu dia mahu segera sembuh kerana mahu kembali buat persembahan bersama kumpulan XPDC.

"Saya bersyukur dengan peningkatan tahap kesihatan suami kerana dia sudah boleh menyanyi lagu nada tinggi ketika berlatih di karaoke.

"Namun, buat masa ini, suami belum memiliki keupayaan dari segi stamina untuk buat persembahan di konsert lagi," katanya.

Ditanya tahap kesihatan pula, kata Sharifah Azuwanna, suaminya perlu menjalani rawatan susulan membabitkan masalah jantungnya yang bengkak di klinik nuklear, Hospital Putrajaya, pagi esok.

"Masalah paru-paru berair sudah okay selepas doktor beri ubat untuk lawas kencing. Cuma rawatan susulan di hospital nanti untuk merawat masalah jantung bengkak sahaja lagi.

"Suami juga dijadualkan buat rawatan susulan mengenai masalah jantung bengkak itu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Ogos nanti," katanya.

Terdahulu, Ali dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi jam 11 pagi tanggal 18 April lalu. 

Ali mengalami sesak nafas ketika majlis penyerahan sumbangan kerusi roda yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:05 PM