ANTARA burung liar dilindungi yang dirampas pegawai Perhilitan selepas disimpan suspek tanpa lesen sah.
ANTARA burung liar dilindungi yang dirampas pegawai Perhilitan selepas disimpan suspek tanpa lesen sah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Suhaila Khairie

Kuala Lumpur: Jejak dan gempur sindiket 'burung emas' di Lembah Klang yang dikesan aktif memelihara, membiak dan menjual pelbagai spesies burung dilindungi.

Sindiket didapati menjadikan kawasan flat kos rendah sebagai lokasi membela unggas itu dengan menggantungkan sangkar burung di laluan kaki lima kediaman tanpa menghiraukan keselesaan jiran sekeliling.

Kegiatan itu disifatkan kacau ganggu kepada penghuni flat berikutan burung dipelihara mengeluarkan bunyi kicauan bising selain najis burung yang mengotori kediaman.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu berjaya ditumpaskan hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 1/2024 Zon Selatan membabitkan sepasukan pegawai Unit Jenayah Hidupan Liar atau Wildlife Crime Unit (WCU) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, operasi diketuai pegawai penguatkuasa Perhilitan, Celescoriano Razond tertumpu terhadap enam lokasi dan kumpulan individu yang dikesan membiak serta menjual pelbagai baka burung liar dilindungi.

"Dalam operasi pertama di Taman Setia, Selangor, seramai 19 anggota Pasukan Penguat kuasa Perhilitan bersama anggota PGA melakukan pemeriksaan dan menahan seorang lelaki tempatan.

"Hasil pemeriksaan di kediaman itu, pegawai Perhilitan menemui tiga burung daun sayap biru, burung Scaly- Breasted Bulbul (2), burung Murai Batu (dua), masing-masing seekor burung scarlet rumped trogon, burung yellow billied fantail, burung crow-billed drongo, burung grey bellied bulbul dan burung verditer flycatcher," katanya.

Beliau berkata, semua burung bernilai lebih RM66,000 itu disita dan suspek berusia awal 20-an disiasat.

PELBAGAI spesies burung liar dilindungi yang dibela suspek di kediaman flat hingga menimbulkan rasa kurang senang penghuni lain.
PELBAGAI spesies burung liar dilindungi yang dibela suspek di kediaman flat hingga menimbulkan rasa kurang senang penghuni lain.

"Dalam operasi ke dua di flat sama, pihak Perhilitan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an. Hasil pemeriksaan kemudian menemui tiga burung oriental white eye selain seekor burung blue-winged leafbird, burung greater leafbird, burung leafbird, burung white-rumped shama, burung white-rumped shama, blue-winged leafbird, common hill myna, burung oriental white eye, burung grey-cheeked bulbul, burung sultan tit, burung Asian fairy-bluebird, burung black-headed oriole dan burung black-crested bulbul.

"Semua burung bernilai hampir RM100,000 itu kemudian disita selepas pemiliknya didapati gagal menunjukkan lesen memiliki semua haiwan itu.

"Operasi ketiga kemudiannya dilakukan terhadap kediaman flat di Taman Setia, Seri Kembangan, Selangor sebelum seorang lelaki tempatan berusia 40-an ditahan.

"Pemeriksaan di kediamannya menemui empat burung spesies blue-rumped parrot, enam burung blue-rumped parrot, seekor burung grey-bellied bulbul, seekor burung leafbird, seekor burung brown-throated sunbird, seekor burung white-rumped shama, seekor burung verditer flycatcher dan seekor burung ashy tailorbird.

"Semua burung bernilai lebih RM85,000 itu disita dan suspek ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Menurutnya, operasi keempat turut dilakukan di flat sama apabila pegawai Perhilitan bertugas turut merampas burung murai batu dan seekor burung merbah luris leher dipelihara seorang lelaki tempatan berusia 40-an.

"Kedua-dua burung bernilai RM 31,600 itu turut disita," katanya.

BURUNG liar dilindungi yang dibela suspek di kediaman flat.
BURUNG liar dilindungi yang dibela suspek di kediaman flat.

Kadir berkata, dalam serbuan ke lima, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang mendiami unit flat sama.

"Hasil pemeriksaan menemui lapan burung spesies burung daun, burung murai batu dan burung serindit dianggarkan kesemuanya bernilai lebih RM21,000," katanya.

Menurutnya, tindakan sama turut diambil terhadap seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang menetap di lokasi sama.

"Siasatan mendapati lelaki berkenaan memelihara seekor burung daun di dalam sangkar di kediamannya. Dia turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan enam individu ditahan itu mengenali satu sama lain dan turut menjalankan kegiatan menjual spesies burung liar dilindungi dan dilindungi sepenuhnya itu melalui medium media sosial.

"Semua suspek dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 seorang. Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) dan 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh membawa hukuman denda minimum sebanyak RM50,000 bagi setiap ekor burung dirampas," katanya.

Harga boleh cecah RM6,000 seekor

Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM3,000 seekor, malah boleh melonjak sehingga 20 juta rupiah (RM6,000) di pasaran gelap Indonesia.

Permintaan tinggi terhadap spesies burung liar tempatan dilindungi ini antara punca kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan hidupan liar masih berterusan sehingga kini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menyedari wujudnya aktiviti pemburuan menjebak burung dan penyeludupan pelbagai spesies burung negara ini.

Menurutnya, pegawai Unit Jenayah Hidupan Liar atau Wildlife Crime Unit (WCU) kerap melakukan risikan dan tindakan rampasan terhadap kumpulan atau pihak yang dikesan menjual hidupan liar berkenaan.

ABDUL Kadir. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Kadir. FOTO Arkib NSTP

"Terdapat lapan spesies burung dilindungi paling kerap dirampas pihak Perhilitan sepanjang 2023.

"Antara spesies burung kerap dirampas adalah murai batu (copsychus malabaricus), bayan serindit (loriculus galgulus), merbah luris leher (pycnonotus finlaysoni), green cheeked conure (pyrrhura molinae), burung sun conure (aratinga solstitialis), burung blue and gold macaw (ara ararauna), burung bayan puling (psittinus cyanurus) dan kelicap kunyit (zosterops palpebrosus)," katanya.

Beliau berkata, sepanjang 2023, sebanyak 172 burung murai batu dirampas pihaknya.

"Ini diikuti 84 burung bayan serindit, 58 burung merbah luris leher, 23 spesies green cheeked conure, 22 sun conure, 21 blue and gold macaw, 17 bayan puling dan 11 kelicap kunyit.

"Kebiasaannya burung ini diperdagangkan kerana memiliki suara yang merdu selain warna bulunya yang menarik perhatian," katanya.

Platform e-dagang mudahkan promosi

Eksploitasi perdagangan hidupan liar dilindungi termasuk pelbagai spesies burung dikesan terus giat dilakukan susulan permintaan tinggi daripada masyarakat tempatan dan pasaran gelap di luar negara.

Bahkan kewujudan pelbagai platform e-dagang memudahkan haiwan liar itu dipromosikan secara meluas kepada pelanggan.

Berdasarkan risikan dijalankan, bunyi kicauan burung yang merdu dan pelbagai, selain variasi warna bulu yang menarik menjadi tarikan utama pemerdagangan haram spesies haiwan itu.

Kajian daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (Traffic) mendapati, perdagangan haram dijalankan sindiket mampu mengakibatkan penangkapan dan penyeludupan tidak terkawal kepada populasi burung di Malaysia.

"Peningkatan kes penyeludupan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini turut mendapat perhatian dalam memenuhi permintaan berterusan oleh pengendali pasaran gelap.

"Lebih membimbangkan apabila permintaan populasi burung dalam negara bagi pasaran antarabangsa turut mendorong kepada kadar pemburuan yang tinggi di Malaysia," katanya.

KAJIAN Traffic mendapati perdagangan haram dijalankan sindiket mampu mengakibatkan penangkapan dan penyeludupan tidak terkawal kepada populasi burung di Malaysia.
KAJIAN Traffic mendapati perdagangan haram dijalankan sindiket mampu mengakibatkan penangkapan dan penyeludupan tidak terkawal kepada populasi burung di Malaysia.

Mengulas lanjut, lonjakan rampasan dilakukan pelbagai agensi penguatkuasaan Malaysia sejak 2020 menjadi kebimbangan terhadap nasib dan masa depan pelbagai spesies burung liar tempatan.

"Bagi menangani keadaan ini, Malaysia memerlukan satu pendekatan yang lebih efektif supaya perdagangan dapat dikawal melalui sistem perlesenan yang lebih sekata di seluruh negara dan penguatkuasaan yang lebih teratur.

"Langkah penambahbaikan perlu diperkenalkan bagi meningkatkan peraturan sedia ada dengan menyenaraikan spesies ini sebagai dilindungi di bawah undang-undang sama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak," katanya.

Tambahnya, ia membolehkan pengawalan perdagangan diatur melalui sistem perlesenan lebih seragam di seluruh negara malah mampu meningkatkan usaha penguatkuasaan kerajaan.

Selain itu, penyenaraian spesies ini sebagai haiwan yang dilindungi dapat memberikan penjanaan pendapatan kepada kerajaan melalui kutipan bayaran lesen.

"Sejarah membuktikan pemburuan tanpa peraturan atau kawalan terhadap spesies burung yang sering diperdagangkan bakal menjejaskan populasi unggas liar itu dalam jangka masa singkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 12:01 PM