Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas 18 burung pelbagai spesies tempatan dan luar negara bernilai RM65,000 di sebuah rumah di Lebuh Shatin 4, Taman Shatin di sini, semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata, hasil pemeriksaan oleh penguat kuasa pada 1.30 tengah hari di sebuah rumah ditemukan pelbagai spesies burung yang dilindungi.

"Hasil pemeriksaan di rumah itu ditemukan 18 burung bersama tujuh sangkar membabitkan jenis blue dan gold macaw, tiong mas, sun conure, sulfur cockatoo, african grey, fischer's love bird, murai batu dan green winged macaw.

"Kebanyakannya adalah spesies dari Afrika dan Australia dengan spesies paling mahal adalah jenis blue dan gold macaw bernilai kira-kira RM5,000 seekor," katanya ketika sidang media di Pejabat Perhilitan Perak di sini, hari ini.

Yusoff berkata, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah bagi menyimpan hidupan berkenaan.

BURUNG yang dirampas PERHILITAN. FOTO Balqis Jazimah Zahari
BURUNG yang dirampas PERHILITAN. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Lelaki berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran yang sah daripada Perhilitan.

"Susulan itu, lelaki berkenaan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan laporan polis dibuat di Balai Polis Pasir Puteh.

"Lelaki berkenaan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada 5 petang," katanya.

Beliau berkata, kesemua burung dipercayai adalah untuk dijual dan aktiviti terbabit dipercayai aktif sejak enam tahun lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:04 PM