SAI (tengah) diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. FOTO Danial Saad
SAI (tengah) diiringi anggota polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pesakit buah pinggang tahap akhir didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM103,635, pada dua tahun lalu.

Tertuduh Sai Bee Nyean, 59 yang bertongkat dalam kamar mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menerima deposit berjumlah RM103,635 daripada seorang wanita seusia dengannya tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Raja Uda, Butterworth antara Mei hingga Ogos 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 ( 2) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam Ch'ng Kim Hock.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Namun, peguam tertuduh merayu supaya mahkamah dapat mempertimbangkan jaminan ekoran anak guamnya yang kini menderita sakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis secara kerap.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh di ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin serta menetapkan syarat tambahan dengan meminta tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 26 Februari depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:07 PM