Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM187,000 untuk tujuan pelaburan tanpa lesen sejak 2019 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Menurut empat pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa bersetuju menerima deposit antara RM10,000 hingga RM100,000 secara berasingan daripada empat lelaki berusia 45 hingga 49 tahun sebagai suatu pelaburan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu dilakukan di tiga kedai makan sekitar Mantin dan Bandar Baru Nilai serta di satu alamat di Taman Seri Rambai, Labu, Nikai antara 30 Ogos 2019 hingga 7 September 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM550,000 dengan syarat tambahan dikenakan.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandang Muzzamil akan dijamin isterinya yang tidak bekerja.

Isteri tertuduh yang berada dalam kamar memaklumkan kepada mahkamah prosiding dia hanya mampu membayar wang jaminan sebanyak RM5,000 sahaja bagi kesemua pertuduhan kerana mereka mempunyai dua anak yang masih bersekolah selain suaminya menghidap penyakit kronik.

Hakim kemudiannya menegaskan jumlah jaminan itu tidak munasabah dengan mengambil kira kerugian bagi semua pertuduhan hampir mencecah RM200,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 16 Januari depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 12:30 PM