Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 19 pertuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah berjumlah RM5.6 juta antara November 2016 hingga Disember 2023.FOTO L.MANIMARAN
Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 19 pertuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah berjumlah RM5.6 juta antara November 2016 hingga Disember 2023.FOTO L.MANIMARAN
Muhamad Lokman Khairi

Ipoh: Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 19 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan kerugian RM5.6 juta sejak 2016 lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, M Vijendran, 41; Danial Marnokaran Abdullah, 36, dan M Thaewendran, 32, sebagai pengarah bersama sebuah syarikat mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mereka yang menjalankan pelaburan mata wang kripto didakwa secara bersama dan secara individu menerima deposit antara RM6,000 hingga RM1 juta daripada beberapa individu tanpa lesen sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di sebuah bank, di sini, sejak November 2016 hingga Disember 2020.

Oleh itu, tiga lelaki terbabit dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dibaca bersama Seksyen 249 (1)(a) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haiqal Asyraf Suhaimi mencadangkan wang jaminan RM100,000 ke atas setiap tertuduh.

Peguam CV Krishnadevan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh pula memohon wang jaminan yang munasabah atas alasan anak guamnya muflis selain tiada pendapatan tetap akibat perniagaan terjejas teruk.

Beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya memfailkan notis permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, bahawa siasatan adalah tidak sah sekaligus membatalkan apa juga pendakwaan.

"Pohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan kes ini sehingga semakan kes di mahkamah tinggi pada 1 April nanti," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 5:22 PM