YAP (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur emas berjumlah lebih RM500,000, empat tahun lalu. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
YAP (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur emas berjumlah lebih RM500,000, empat tahun lalu. FOTO Khairul Azhar Ahmad.
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


BEKAS pengarah syarikat pelaburan emas bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur berjumlah lebih RM500,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Yap Yee Hoo, 62, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Yap yang memakai kemeja putih dilihat tenang di dalam kandang tertuduh itu berkata, 'faham.. tidak mengaku salah.'

Mengikut dua pertuduhan, Yap didakwa menerima deposit daripada Tan Cheng Tat, 51, peguam, dan Mastura Abdul Muthalib, 53, ahli perniagaan, masing-masing berjumlah RM446,700 dan RM70,000 tanpa lesen sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Level 1-2, Wisma BU8, nombor 11, Lebuh Bandar Utama, di sini, antata Julai dan November 2014.

Dakwaan kedua-dua kes terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Yap turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM666,700.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 3:20 PM