Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Bekas pegawai eksekutif syarikat makanan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah RM10,000 pada Mac tahun lalu.

Muhamad Fadzli Jamaludin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Fadzli didakwa menerima deposit daripada seorang lelaki berjumlah RM10,000 tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (AKTA 758).

Kesalahan dibuat pada jam 11.27 malam di nombor 94 Jalan Manis 8, Taman Manis, Kelapa Sawit, Kulai, pada 3 Mac 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (AKTA 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Muhamad Fadzli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang tanpa lesen berjumlah RM10,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Muhamad Fadzli mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang tanpa lesen berjumlah RM10,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien, manakala tertuduh diwakili peguam B Puvarasan.

Pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun Puvarasan memohon jaminan diringankan bawah RM10,000 kerana anak guamnya kehilangan kerja dalam tempoh pandemik Covid-19 serta mempunyai dua tanggungan iaitu isteri dan seorang anak berusia dua tahun.

Mahkamah menetapkan tawaran jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:25 PM