Tham (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen. FOTO Saddam Yusoff
Tham (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen. FOTO Saddam Yusoff
Sarah Zulkifli


PEMBANTU pejabat sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah dalam skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia hampir RM500,000, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Tham Yik Keong, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Difahamkan, Yayasan PBI Sedunia menawarkan pakej dan keuntungan berlipat kali ganda antara 15 dan 20 peratus selama 15 bulan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima deposit berjumlah RM484,635 daripada Lew Yoke Fah, 59, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (akta 758).

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Lim Yoi Ping yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama dengan pihak polis sepanjang siasatan.

Zamri membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada Julai tahun lalu, Tham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung skim pelaburan Yayasan PBI Sedunia yang tidak wujud dengan kerugian berjumlah RM121,500.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:56 PM