MOHD Hairul (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
MOHD Hairul (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang guru mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 12 dakwaan menawarkan skim pelaburan emas membabitkan kerugian RM284,200 tujuh tahun lalu.

Mohd Hairul Nizam Wahab ,38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kesemua pertuduhan, duda tiga anak itu didakwa menerima wang deposit berjumlah RM284,200 daripada 12 individu yang juga rakan sekerja tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah menengah di Pasir Gudang dan sebuah kedai di Bukit Dahlia di sini, antara Mei hingga November 2014.

Sehubungan itu Mohd Hairul Nizam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Fahmi Adilah.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM4,000 bagi setiap pertuduhan atau keseluruhan RM48,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 20 Jun sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 1:28 PM