RUMAH-rumah anak yatim di bawah Program Kongsi Rezeki menerima perkakas elektrik dan bekalan barangan runcit.
RUMAH-rumah anak yatim di bawah Program Kongsi Rezeki menerima perkakas elektrik dan bekalan barangan runcit.

Kuala Lumpur: Dalam menjalani kehidupan, setiap individu pasti ingin mencapai aspirasi hidup sekiranya ia dibantu dengan dorongan, motivasi dan sumber yang betul.

Namun realitinya, perjalanan mencapainya sering kali tersepit antara kekangan sumber dan cabaran yang tidak dijangka, termasuk halangan kewangan mahupun kesihatan.

Mengambil kira pentingnya matlamat hidup yang disokong keselamatan kewangan, pengendali takaful terkemuka AIA PUBLIC Takaful Bhd (AIA PUBLIC Takaful) berhasrat menjadi pemangkin yang memacu aspirasi itu bagi memperkasakan rakyat dalam merealisasikan harapan dan impian mereka.

Bagi menggerakkan matlamat terbabit, pada awal tahun ini AIA PUBLIC Takaful melancarkan kempen Penyala Harapan yang merangkumi inisiatif yang bukan saja menghulurkan bantuan kepada masyarakat tetapi juga memberikan motivasi dan inspirasi yang diperlukan rakyat Malaysia untuk Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas berkata kempen ini memberi tumpuan bahawa impian bukan sekadar angan-angan, tetapi sebagai pendorong yang kuat kepada individu untuk melangkah jauh ke hadapan.

"Intipati kempen ini terletak pada kepercayaan yang mendalam bahawa pembangunan komuniti sebenar melangkaui peranan kami sebagai pengendali takaful. Ia juga membabitkan kami untuk memperkasakan orang ramai untuk mencapai aspirasi dan membina masa depan yang terjamin untuk diri mereka sendiri dan yang tersayang.

"Setiap individu berhak mendapat peluang untuk mengejar impian mereka tanpa bebanan ketidaktentuan kewangan. Kami bukan sekadar menyediakan perlindungan, tetapi menggalakkan usaha mengejar aspirasi dan komitmen ini, selari dengan prinsip Takaful itu sendiri yang mengutamakan bantuan dan tanggungjawab bersama," katanya.

  • Kesejahteraan dan pengayaan komuniti

    Selain pertumbuhan perniagaan dan pembangunan tenaga agensi, kemampuan melakukan transformasi positif dalam masyarakat juga dilihat sebagai salah satu kayu pengukur kejayaan buat pengendali takaful berkenaan.

    Oleh yang demikian, satu kolaborasi dilaksanakan bagi menggerakkan perubahan positif dalam masyarakat, dan komitmen syarikat terhadap pengayaan komuniti dipamerkan melalui pelbagai inisiatif di bawah kempen Penyala Harapan.

    Kerjasama dengan rakan kongsi organisasi bukan kerajaan (NGO), program komuniti serta inisiatif media sosial menjadi tunjang kepada pendekatan inklusif ini.

    Tambahan pula, bersempena bulan Ramadan tahun ini, AIA PUBLIC Takaful mengajak orang ramai berganding bahu memberi impak yang lebih bermakna kepada masyarakat melalui kempen terbabit dengan orang ramai berpeluang mencalonkan rumah anak yatim yang boleh dijadikan benefisiari di bawah Program Kongsi Rezeki.

    Sejak 2021, AIA PUBLIC Takaful dan rakan NGO, Malaysian Relief Agency bekerjasama membantu 10 rumah anak yatim melalui Program Kongsi Rezeki di seluruh Malaysia.

    Menerusi fasa program yang berbeza, rumah-rumah anak yatim itu menerima komputer riba serta barangan keperluan seperti katil, tilam, perkakas elektrik dan bekalan harian lain bernilai hampir RM500,000 yang memanfaatkan lebih 500 kanak-kanak.

    Bukan itu saja, program ini turut menyokong kesejahteraan fizikal dan mental anak-anak yatim dengan menjalankan aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman yang dapat meningkatkan kemahiran sosial selain memberikan pengalaman bermakna kepada zaman kanak-kanak mereka.

    Elmie berkata langkah ini bukan saja memperluaskan jangkauan impak Program Kongsi Rezeki, malah ia juga menyaksikan seruan ringkas itu berpotensi membawa perubahan positif dalam masyarakat.

    "Sambutan terhadap inisiatif ini amat memberangsangkan. Dengan bantuan orang ramai, kami dapat menambah empat rumah anak yatim baharu dari Selangor, Pahang dan Melaka di bawah program ini yang secara keseluruhannya menjadikan jumlah benefisiari sebanyak 14 penerima dengan lebih 800 kanak-kanak.

    "Kami berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat dalam menjamin masa depan yang lebih cerah di mana setiap kanak-kanak ini boleh memenuhi impian, tampil cemerlang dan berkembang maju dengan cara tersendiri," katanya.

  • Melindungi impian dengan pelan takaful inovatif

    Selama lebih sedekad, AIA PUBLIC Takaful melindungi rakyat Malaysia melalui pelbagai penyelesaian inovatif patuh syariah yang dilengkapi dengan jaringan keselamatan bagi membolehkan setiap individu mencapai aspirasi mereka tanpa perlu bimbang mengenai masalah kewangan.

    Elmie berkata, peranan AIA PUBLIC Takaful untuk melindungi impian berkenaan dan memastikan ia bukan sekadar aspirasi tetapi matlamat yang boleh dicapai dengan disokong oleh keselamatan penyelesaian kewangan yang diterajui pasaran.

    "Sama ada memastikan pendidikan kanak-kanak, perlindungan untuk penyakit kritikal, melindungi orang tersayang dengan hibah atau meninggalkan legasi.

    "Kami sentiasa bersama pelanggan dalam melindungi segala yang bermakna dalam kehidupan mereka dan menyumbang kepada aspirasi masa depan," katanya.

    AIA PUBLIC Takaful sentiasa berusaha mencari kaedah baharu dan inovatif untuk meningkatkan perkhidmatan nilai tambahnya yang boleh membuat perubahan dalam kehidupan pelanggannya dan komuniti.

    Elmie berkata faedah takaful ditawarkan AIA PUBLIC Takaful melangkaui keperluan kewangan dan perlindungan pelanggan, termasuk sebagai satu saluran kebajikan yang membolehkan mereka menyumbang kepada golongan memerlukan.

    "Sebagai contoh, pelan A-Life Legasi Beyond kami direka dari konsep di mana kekayaan itu bukan semata-mata meninggalkan simpanan yang mencukupi untuk ahli keluarga, tetapi terus melakukan kebaikan melalui infaq walaupun selepas kematian.

    "Sekiranya pelanggan meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh, seseorang individu mempunyai pilihan untuk menyumbangkan jumlah perlindungan pelan mereka kepada badan amal pilihan mereka," katanya.

    "Kami juga menawarkan beberapa penyelesaian takaful yang membolehkan pelanggan mendermakan lebihan takaful untuk menyokong aktiviti amal dan inisiatif komuniti yang diuruskan AIA PUBLIC Takaful. Dengan cara ini, pelanggan kami dapat berkongsi faedah takaful mereka dengan masyarakat melalui kaedah yang lebih mampan dan bermakna," katanya.

    Pek Penyala Harapan 3-dalam-1 juga adalah satu lagi usaha AIA PUBLIC Takaful untuk menyokong dan memperkasakan rakyat Malaysia dalam mencapai aspirasi hidup.

    Pek ini merangkumi tiga pelan perlindungan utama iaitu, A-Life Kasih Famili, A-Life Kritikal Protector dan A-Life MediFlex-i yang masing-masing menyediakan perlindungan takaful keluarga, penyakit kritikal dan perubatan komprehensif.

    Pelanggan boleh memilih untuk menyertai mana-mana satu pelan daripada serendah RM5.94 sehari disamping mendapat akses kepada program kesihatan dan kesejahteraan unik syarikat, AIA Vitality.

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 6:15 AM