PENGUNJUNG di pantai sekitar daerah ini dikesan tidak menghiraukan amaran bendera merah yang dikibarkan sebaliknya masih terus melakukan aktiviti. FOTO ihsan IPD Kota Tinggi
PENGUNJUNG di pantai sekitar daerah ini dikesan tidak menghiraukan amaran bendera merah yang dikibarkan sebaliknya masih terus melakukan aktiviti. FOTO ihsan IPD Kota Tinggi
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Pengunjung di pantai sekitar daerah ini dikesan tidak menghiraukan amaran bendera merah yang dikibarkan sebaliknya masih terus melakukan aktiviti terutama mandi-manda.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata ia boleh mengancam nyawa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu susulan Monsun Timur Laut yang sedang melanda ketika ini, menyebabkan laut bergelora dan berarus kuat.

Katanya, anggota bersama kereta peronda polis mempertingkatkan rondaan di sekitar pantai-pantai tumpuan umum di sini bagi membuat hebahan menggunakan pembesar suara bagi pengunjung tidak mendekati kawasan pantai khususnya untuk aktiviti mandi-manda

"Orang ramai sepatutnya lebih prihatin dan peka dengan keadaan cuaca terutama musim tengkujuh dan hujan lebat ketika ini walaupun dengan alasan beriadah bersama keluarga kerana cuti yang panjang.

"Masih ada pengunjung pantai yang tidak prihatin dengan amaran pemasangan bendera merah di sepanjang kawasan pantai di daerah ini supaya mereka tidak melakukan aktiviti mandi - manda.

"Patuhilah amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk keselamatan awam agar tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi.

Sejak minggu lalu, arahan penangguhan aktiviti di kawasan pantai dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dengan pemasangan notis dan pengibaran bendera merah di sepanjang pantai.

Dalam pada itu, Hussin berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan anggota di kawasan pantai rekreasi daerah ini untuk memberi peringatan kepada pengunjung supaya menangguhkan semua aktiviti riadah di pantai.

"Ini kerana mungkin ada pengunjung dari luar yang tidak maklum dan tidak tahu mengenai amaran bendera merah menandakan semua aktiviti riadah di pantai perlu ditangguhkan.

"Oleh itu, anggota sudah diarahkan meningkatkan pemantauan dan hebahan menerusi pembesar suara bagi memaklumkan pengunjung. Anggota juga diminta menasihatkan pengunjung yang berdegil mengenai risiko terhadap nyawa mereka dan orang tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:32 PM