ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa bendera merah untuk dipacakkan bagi memastikan pengunjung tidak melakukan sebarang aktiviti mandi berikutan laut bergelora dan ombak besar musim tengkujuh.  FOTO Muhd Asyraf Sawal
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa bendera merah untuk dipacakkan bagi memastikan pengunjung tidak melakukan sebarang aktiviti mandi berikutan laut bergelora dan ombak besar musim tengkujuh. FOTO Muhd Asyraf Sawal
T.N.Alagesh


BENDERA merah kini dikibarkan di semua pantai popular di Pahang sebagai amaran kepada pengunjung dan mereka yang ingin mandi di pantai ekoran ketibaan musim tengkujuh.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kol (PA) Zainal Yusoff berkata, bendera merah dikibarkan di Pantai Teluk Chempedak, Pantai Sepat, Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok, di Kuantan, bagi memberi peringatan bahawa semua aktiviti air dilarang semasa musim hujan kerana kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar.

Beliau berkata, pihaknya turut menempatkan anggota penyelamat pantai pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah di pantai utama daripada 9 pagi hingga 7 malam bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai.

Katanya, anggota penyelamat yang ditempatkan di kawasan pantai itu turut dibekalkan dengan jet ski, bot dan peralatan menyelamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Enam anggota akan ditempatkan di setiap pantai pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah yang kita jangka akan menerima kunjungan orang ramai. Anggota penyelamat yang bertugas akan melakukan pemantauan daripada menara kawalan serta rondaan secara berjalan kaki dan bermotosikal.

“Semua anggota kita berpengalaman dan terlatih dalam memberikan bantuan kecemasan serta bantuan pernafasan (CPR). Orang awam perlu memberi kerjasama kepada anggota kita terutama ketika cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zainal berkata, pantai Teluk Chempedak, di sini adalah destinasi popular di negeri ini dan dijangka menerima kehadiran orang ramai termasuk pelancong asing untuk beriadah sekali gus memerlukan pengawasan rapi anggota penyelamat daripada APM Pahang.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sudah bermesyuarat minggu lalu bagi menyelaraskan usaha mereka sekiranya berlaku banjir.

“Semua 11 daerah di Pahang sudah selesai bermesyuarat dan agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Kesihatan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri sudah diberi taklimat mengenai persediaan menghadapi banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:05 PM