Nurul Hidayah Bahaudin dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Sikap penunggang motosikal yang mengubah suai kenderaan semata-mata mahu mendapatkan keseronokan dilihat semakin membimbangkan.

Ini termasuk membuang brek belakang dengan kewujudan motosikal 'lajak' yang menjadi trend dan fenomena baru dalam kalangan remaja.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, trend itu semakin berkembang apabila ramai penunggang dikesan tiada brek belakang.

"Bagi mereka (penunggang motosikal yang membuat ubah suai), kesalahan dilakukan itu bukan perkara besar, bukan kes besar pun.

"Namun mereka perlu ingat bahawa sikap sambil lewa ini boleh mengundang kepada kemalangan hingga meragut nyawa bukan saja diri sendiri tetapi pengguna lain.

"Dalam isu ini, kita bukan nak aniaya dan tangkap mereka selain mengeluarkan saman atas kesalahan dilakukan tetapi kita mahu mereka faham bahawa tindakan itu membahayakan banyak pihak termasuk diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Op Motosikal/Samseng Jalanan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sarifudin berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 188 kes kemalangan maut direkodkan di ibu kota bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Disember lalu.

"Daripada jumlah itu, 151 kemalangan maut direkodkan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 76 individu maut adalah remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun.

"Jumlah ini menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan paling berisiko terdedah dengan kemalangan yang ditambah lagi dengan sikap mereka yang suka melakukan ubah suai," katanya.

Sarifudin berkata, antara alasan yang diberikan oleh penunggang motosikal untuk membuang brek belakang adalah mahu kenderaan mereka lebih ringan.

"Alasan selalu diberikan mereka adalah mahu motosikal jadi lebih ringan bagi mendapatkan kelajuan maksimum sekali gus bergerak lebih pantas.

"Pada masa sama, mereka mahu mendapatkan keseronokan menunggang motosikal diubah suai yang dianggap sebagai trend dengan aksi dan lagak di tengah ibu kota," katanya.

Beliau berkata, selain tiada brek belakang, pihaknya juga mengesan beberapa ubah suai lain yang kerap dilakukan oleh penunggang motosikal termasuk ekzos bising, tayar kecil serta nombor pendaftaran 'fancy'.

"Kebelakangan ini, kita menerima banyak aduan daripada penduduk setempat di Jalan Tun Razak mengenai gangguan bunyi bising dan operasi dilakukan bagi mengambil tindakan.

"Kita akan meneruskan operasi ini dalam usaha memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan dengan tidak membuat sebarang ubah suai pada kenderaan.

"Pada masa sama, kita sarankan ibu bapa supaya memantau motosikal anak-anak remaja mereka agar tidak membuat ubah suai memandangkan mereka adalah golongan paling ramai yang melakukan kesalahan itu," katanya.

MOTORSIKAL yang dirampas dan diubahsuai pada Sidang Media Khas mengenai motorsikal yang disita dan tangkapan Ops Samseng Jalanan di Dataran JSPT, Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah
MOTORSIKAL yang dirampas dan diubahsuai pada Sidang Media Khas mengenai motorsikal yang disita dan tangkapan Ops Samseng Jalanan di Dataran JSPT, Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:14 PM