ANGGOTA polis trafik menjalankan pemeriksaan dalam Op HUU Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, semalam. FOTO ihsan JSPT
ANGGOTA polis trafik menjalankan pemeriksaan dalam Op HUU Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, semalam. FOTO ihsan JSPT
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 6,476 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya (HUU) Polis Kuala Lumpur fasa dua, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 48 pegawai dan 657 anggota terbabit dalam operasi itu yang dijalankan di sekitar ibu negara.

"Kesalahan paling tinggi direkodkan dalam operasi semalam adalah halangan lalu-lintas dengan 4,816 saman dikeluarkan diikuti lain-lain kesalahan (1,285 saman) dan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (134 saman).

"Jumlah saman dikeluarkan itu juga membabitkan kesalahan tiada lesen memandu bagi individu tempatan (112 saman), jalan semasa lampu isyarat merah (46 saman), ubah suai nombor pendaftaran (58 saman), berhenti di petak kuning (tiga saman) dan tiada lesen memandu warga asing (12 saman)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, sebanyak 12 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi semalam.

"Kita menahan lapan individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk mabuk dan menjalankan kegiatan parkir haram selain kes dadah.

"Antara 23 operasi yang dijalankan dalam Op HUU semalam adalah Op Utama (had laju/LSD/ lampu isyarat merah); Op Motosikal; Op Samseng Jalanan; Op Parkir Haram; Op Mabuk; Op Khas; Op Pelbagai dan Op Halangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 12:25 PM